Bab 2
Hari yang cerah begini sangat sesuai kalau berkebun. Aku mencongak apa yang patut aku tanam di tepi rumahku. Akmal yang sedang menonton televisyen, sesekali menoleh ke arahku. Kemudian Akmal berkata, "Along pandai tanam pokok ke? Tu rumpun serai yang Along tanam dulu pun hidup segan mati tak mahu. Hahaha, Mal rasa elok sangat kalau Along tanam pokok bunga raya. Bunga kebangsaan kita"
"Amboi….. amboi…..amboi…tapi kenapa bunga raya pula Mal? Kenapa bukan bunga orkid atau bunga keembung ke atau bunga taik ayam?" Aku sengaja menduga Akmal.
"Alahai Along tak tahu ke? Daun bunga raya kalau Along ramas-ramas dalam bekas berisi air dan Along tepek-tepekkan di rambut Along, nanti rambut Along boleh jadi hitam berkilat macam rambut si Syikin yang tinggal di rumah hujung jalan nun. Ini kan petua orang dulu-dulu. Mal ada terbaca petua ni di majalah yang Along beli" Berkobar-kobar Mal menyampaikan hujahnya mengenai kegunaan daun bunga raya.
"Jadi, sekarang ni sebenarnya Mal nak cakap pasal kegunaan daun bunga raya atau pasal cantiknya rambut si Syikin tu? Aku sengaja cuba menyelam gelora hati peria yang sedang membesar ni.
"Iskh… Along ni. Ada ke Mal pula yang di kenennya. Long! Kalau dah macam tu, tak payahlah tanam pokok. Lagi pun Mal tak sanggup nak tengok pokok tu nanti macam hidup tak hidup je. Takkan Along tak tau yang Along memang tak ada bakat langsung jadi pekebun. Tapi! Along sesuai jadi chef. Mal laparlah Long. Jom kita minum petang. Along pilih, samada nak masakkan Mal cekodok pisang atau belanja Mal makan roti canai di gerai Pak Abu?" Makin lebar senyuman Akmal.
Aku membiarkan saja Akmal bercerita mengenai makanan. Biar dia betul-betul lapar dulu. Lagi pula, aku memang tak bercadang nak masak. Aku ingat nak bawa Akmal pergi makan pizza je sebentar lagi.
Selesai menikmati keenakkan pizza, kami tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya kami pergi menonton wayang gambar larut malam. Ku lihat Akmal begitu ceria sekali. Senyumannya pun dah melebar hingga ke telinga. Lebih-lebih lagi Akmal memang suka menonton cerita aksi seperti itu.
Semasa dalam perjalanan pulang, Akmal asyik bercakap mengenai filem yang baru kami tonton bersama. Aku cuma mampu mendengar. Untuk mengulas lanjut, aku sudah kepenatan dan tidak berdaya. Manakala Akmal masih terus menerus bercerita dan di sulami dengan ketawa-ketawa kecilnya.
"Long, terima kasih kerana bawa Mal keluar hari ni. Mal rasa sungguh seronok sekali malam ni Long. Dah lama juga kita tak menonton wayang. Asyik tengok CD je. Sekali sekala menonton di panggung, rasa thrill"
"Nanti, sekali sekala kita keluar lagi menonton di panggung. Tapi tak boleh sering sangat sebab Mal nak ambil periksa PMR tahun ni. Kalau setakat nak release tension bolehlah. Lagi pula kalau dah kerap sangat ketagih pula nanti sedangkan Mal ada misi penting yang harus Mal laksanakan. Ingat ya Mal… pelajaran tu penting dik. Demi masa depan Mal juga. Along akan berusaha menyediakan segala keperluan Mal dan tugas Mal hanya perlu belajar. Seandainya berlaku sesuatu yang buruk kepada Along, bagaimana Mal nak hidup sekiranya Mal tidak ada pelajaran? Along tidak mahu lihat Mal hidup susah. Along tidak tergamak melihat Mal mencari rezeki dengan tulang empat kerat Mal. Along mahu Mal duduk di kerusi empuk dan hanya perlu memegang pen. Doa Along akan sentiasa mengiringi Mal setiap masa. Andai arwah mak dan arwah ayah masih ada, tentu mereka juga mahukan yang terbaik saja untuk Mal. Percayalah dik. Berjanjilah pada Along yang Mal akan berikan yang terbaik dan akan lakukan cuma yang terbaik saja" Aku yang kepenatan sejak tadi seolah-olah mendapat tenaga baru untuk memotivasikan Akmal malam itu.
"Insyaallah Long. Berkat doa dan kasih sayang Along pada Mal selama ini. Berkat pengorbanan dan segala yang dah Along berikan untuk Mal, Mal berjanji untuk tidak mengecewakan Along. Mal cuma ada Along…. hanya Along…..tanpa Along, tak tahu apa nasib Mal. Terima kasih untuk segala galanya ya Long. I love you Long. I will always love you forever and ever sis" Merah mata Akmal tatkala dia meluahkan isi di hatinya. Suasana di dalam kereta sunyi seketika tanpa kata-kata. Aku dan Akmal melayan perasaan masing-masing sementara menuju jalan pulang.
Setibanya di rumah, aku dan Akmal sudah terlalu letih. Kami tidak menunggu lama untuk masing-masing terlena di dalam dakapan mimpi yang panjang. Malam sudah berarak pulang…. menanti siang datang bertandang.
Hendak gugur, gugurlah nangka
Jangan menimpa si ranting pauh
Hendak tidur, tidurlah mata
Jangan mengenang orang yang jauh
Tamat Bab 2
Sunday, December 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment