Tuesday, December 15, 2009

SKSR - Bab 3

Bab 3

"Qis, jangan lupa temujanji kita petang nanti. Jumpa di tempat biasa pukul 6 petang. Jangan lupa ya Qis" Begitulah sms yang ku terima dari Fatehah pagi tadi sekitar pukul 10 pagi. Fatehah atau gelaran manjanya Fati adalah sahabat sejatiku sejak 17 tahun yang lalu.

Fatehah lah tempat aku mengadu lebih-lebih lagi tatkala aku dan Akmal kehilangan tempat bergantung. Masih aku ingat ada kalanya dulu, Fatehah akan sembunyi-sembunyi bawakan aku dan Akmal makanan dari rumahnya tanpa pengetahuan ibunya. Aku mengerti, keluarga Fatehah juga susah tetapi Fatehah sanggup berkongsi makanannya dengan kami dua beradik. Pernah kami bertiga berkongsi sepinggan nasi yang berlaukkan seekor ikan selar masin mahupun berkongsi hanya sebiji telur rebus. Pada Fatehah, Akmal itu biarpun adik kandungku tetapi Akmal juga umpama adiknya sendiri.

Mungkin Fatehah rindukan arwah Anuar yang merupakan satu-satunya adiknya. Arwah Anuar yang sebaya dengan Akmal telah pulang ke rahmatullah ketika baru berusia 6 tahun kerana lemas ketika bermain di kawasan bekas lombong di kampung kami. Kematian Anuar memberikan impak yang sungguh besar kepada Fatehah. Justeru itu kehadiran Akmal sedikit sebanyak mengubat duka di hati Fatehah.

Tanpa aku sedari, hari telah pun petang. Ku kerling jam di tangan, "Cepatnya masa berlalu…. Oh! Dah hampir pukul 5 petang? Sempat ke nak jumpa Fati ni? Macam tak sempat je… Tapi! Kasihan Fati kalau aku tak dapat jumpa dia. Dah 2 kali aku terpaksa batalkan pertemuan kami. Takkan nak batalkan sampai 3 kali pula. Aku tak nak jadi orang yang pentingkan diriku saja sedangkan Fati telah banyak berkorban untuk aku dan Akmal selama ini"

"Mengapa termenung ni Qis?" Takkan kerana aku terlambat sedikit kau dah tunjuk muka monyok pula" tegur Fatehah sambil mencubit manja lenganku.

"Aduh… sakitlah Fati…. Dahlah lama aku tercongok tunggu kau di sini, lagi kena cubit lak. Tak patut sungguh tau. Kalau macam ni, aku nak merajuklah" Aku tunjuk muka sedihku.

"Ye lah tu Qis. Merajuklah sepuas-puasnya. Nanti aku suruh Encik Arshad tolong pujuk kau" Fatehah pun duduk di kerusi sambil ketawa. "Mmmm….. Qis, kau ingat lagi tak Encik Arshad?" Fatehah merenung wajahku.

"Kau ni Fati. Dah bertahun-tahun kita graduate, tapi nama Encik Arshad masih meniti di bibir kau. Rindu ke….?" Kini giliran aku pula menyakat Fatehah.

"Rindulah juga. Membuak-buak ni" Spontan Fatehah berseloroh sambil membelek-belek menu. "Kita nak makan apa hari ni Qis? Apa kata kalau kita cuba jadi minah salleh? Dah lama kita tak makan steak kat sini"

"Lama?…. Baru 3 minggu lepas kita makan black pepper steak. Fati, kau pun tahu aku tak berapa suka makanan barat. Sekali sekala bolehlah. Orderkan aku kueh tiaw kantonis style dan fresh orange je Fati" Aku mengarahkan Fati.

"Baik bos" Fatehah tersenyum melirik. Fatehah memesan makanan yang sama dengan ku dan kami makan bersama dengan gelak ketawa silih berganti. Selesai menjamu selera kami di tegur oleh seseorang yang cukup kami kenali. "Amboi! Seronoknya makan sampai tak nampak saya" Tegur lelaki tersebut.

Aku dan Fatehah serentak memandangnya lalu Fatehah berkata, "Eh! Encik Arshad, buat apa di sini?" En Arshad tersenyum lalu berkata, "Saya dan isteri datang sini tentulah nak makan. Takkan nak menonton filem pula di restoran. Mestilah nak makan… kan sayang…" Encik Arshad senyum melirik kepada wanita bertudung biru di sebelahnya.

Aku lihat Fatehah terlopong melihat Encik Arshad memperkenalkan isterinya kepada kami. Sejurus selepas kami bersalaman dengan isteri Encik Arshad, mereka pun berlalu pergi.

"Tak sangka tul Encik Arshad dah kahwin. Dahlah poyo, dapat lak isteri yang cantik. Lagilah tambah poyo" Fatehah ketawa sampai tergoyang-goyang bahunya. Aku juga turut ketawa bila terkenangkan peristiwa-peristiwa lucu Encik Arshad semasa mengajar kami. Encik Arshad merupakan pensyarah kewangan kami dan sangat kedekut orangnya. Pernah kami nampak Encik Arshad terbongkok-bongkok sambil mencucuk-cucuk jalur besi penutup longkang di kawasan kampus. Rupanya Encik Arshad tercicir duit syilling 20 sen di dalam longkang tersebut. Mungkin kerana sifat kedekutnya itu juga maka dia lewat bertemu jodoh. Dia hanya berkahwin dalam usia lewat 40an sedangkan usia sebegitu sepatutnya sudah mempunyai beberapa orang anak yang sudah bersekolah.

"Menung jauh nampaknya Qis… takkan lah baru jumpa dah membibit rindu?" Gurauan Fatehah menyedarkan aku dari lamunan kenangan-kenangan semasa di kampus. Kami akhirnya ketawa lagi untuk ke sekian kali. Selesai makan dan bergurau senda, kami berpisah untuk pulang mengikut haluan masing-masing.

Sedang aku memandu pulang ke rumah, Akmal menaliponku, "Along di mana?" Akmal bertanya padaku. "Along dah dekat nak sampai rumah ni Mal. 5 minit lagi sampailah. Ni kak Fati ada bungkuskan Mal chicken chop kegemaran Mal" Aku memberitahu Akmal.

"Ni yang tambah sayang pada kak Fati ni. Macam tau-tau je Mal memang tengah lapar sangat. Siang tadi Mal cuma makan roti bakar je"

"Mal makan roti bakar je siang tadi? Takkan duit belanja yang Along bagi dah habis pula Mal?" Aku sedikit hairan.

"Bukan macamtu Long. Mal tengah belajar berjimat. Kan berjimat cermat tu satu amalan mulia" Akmal tergelak kecil lalu menambah, "Oklah Long, cepat sikit tau. Mal dah sakit perut ni" Akmal terus menamatkan panggilan.

"Mal… Mal…. Ada saja… " Aku membebel sendirian.

Sedang aku dalam keadaan tergesa-gesa untuk sampai ke rumah, tayar kiri belakang keretaku tiba-tiba pancit. Aku mengeluh, "Takkan nak tinggalkan kereta di sini. Nanti hilang atau kena pecah, susah pula. Aku kebuntuan.

Tiba-tiba aku nampak 3 orang lelaki menuju ke arahku. Berbagai rasa bercampur baur. Manalah tahu kalau lelaki-lelaki itu semua orang jahat. Mereka semakin menghampiri dan berdiri di hadapanku. Mereka bertiga bercakap sesama sendiri dalam loghat dan bahasa yang tidak aku fahami. Salah seorang cuba memegangku lantas membuatkan aku menjerit sekuat hati lalu berlari ke arah sebuah kereta yang kebetulan sedang melalui jalan yang sama.

"Skrrreeeeeeeeett….." Bunyi tayar dan brek kecemasan kereta tersebut memecah keheningan malam. Ku lihat 3 orang lelaki yang mengangguku tadi bergegas pergi. Aku mengurut dadaku tanda syukur yang amat sangat. Pemandu kereta yang berhenti tadi terus keluar dari keretanya lalu mendapatkan aku. "Are you ok?" Dia bertanya kepadaku. "Ya, I guess so… thanks for stop by" Ada getar di suara ku. Aku sebenarnya masih panik.

"Well… I am willing to help…. What can I do for you?" Tanya lelaki tersebut kepadaku.

"Encik boleh tolong tukarkan tayar kereta saya? Tayar kiri belakang tu pancit. Tayar spare saya ada dalam bonet kereta. Saya sebenarnya tak tahu nak tukar tayar" Aku menjelaskan padanya.

Lebih kurang 10 minit, kerja-kerja menukar dan memasang tayar selesai. Aku menghulurkan sekotak tisu untuk dia mengelap tangannya yang kotor. Tidak henti-henti aku mengucapkan terima kasih kepadanya lalu dia pun berkata, "Tidak mengapalah Balqis, ini adalah sebahagian dari tanggungjawab kita sesama manusia"

Aku berasa sungguh hairan sewaktu dia menyebut namaku, tetapi belum pun sempat aku bertanya padanya, dia pun menyambung kata-katanya, "awak tak ingat pada saya? Cuba awak ingat semula kira-kira 2 minggu yang lepas, kita ada terserempak berdekatan dengan 7 eleven di Taman Sutera"

Aku mengerut-ngerutkan dahiku sambil berfikir…. tetapi mungkin kerana fikiran aku sedang bercelaru ketika itu, maka aku tidak dapat mengingat apa-apa. "Maaf ya Encik… mungkin saya terlupa agaknya. Harap Encik tidak berkecil hati" Aku berasa sangat malu kerana tidak dapat mengimbas kembali kisah yang lelaki itu maksudkan.

"Mungkin Balqis boleh ingat pada saya kalau saya katakan nama saya Adam dan sayalah yang telah terlanggar awak tanpa sengaja di sebabkan nak cepat kerana mahu ke tandas" Lelaki itu tidak berputus asa menjelaskan kepadaku.

"Ya Allah!…cepatnya saya terlupa. Maafkan saya…. Betapa kecilnya dunia ini dan malang memang tidak berbau. Tempohari saya memarahi Adam tetapi hari ini jika tanpa Adam, entah apa pula yang terjadi kepada saya sebentar tadi. Saya benar-benar terhutang budi kepada Adam" Aku berasa sangat malu kepada Adam.

"Dah jadi tanggungjawab sesama kita. Oh ya, hari dah semakin malam. Eloklah kiranya Balqis pulang sekarang. Tetapi…." Adam terhenti bicara di situ.

"Tetapi apa Adam?" Aku sedikit kehairanan.

"May I have the honour to keep your contact number? Nanti bolehlah kita communicate through phone. Nak sembang lama-lama sekarang ni tak berapa manis kerana hari dah semakin lewat. Eloklah awak balik dulu. Tayar pun dah OK kan" Adam tersenyum.

"Thanks Adam. Ini kad saya. Care to contact" Aku menghulurkan sekeping kad bisnes ku kepada Adam. Dia menyambutnya lalu berkata, "Terima kasih Balqis. This is mine. Care to contact too. Drive carefully and good night"

Tamat Bab 3

Sunday, December 13, 2009

SKSR - Bab 2

Bab 2

Hari yang cerah begini sangat sesuai kalau berkebun. Aku mencongak apa yang patut aku tanam di tepi rumahku. Akmal yang sedang menonton televisyen, sesekali menoleh ke arahku. Kemudian Akmal berkata, "Along pandai tanam pokok ke? Tu rumpun serai yang Along tanam dulu pun hidup segan mati tak mahu. Hahaha, Mal rasa elok sangat kalau Along tanam pokok bunga raya. Bunga kebangsaan kita"

"Amboi….. amboi…..amboi…tapi kenapa bunga raya pula Mal? Kenapa bukan bunga orkid atau bunga keembung ke atau bunga taik ayam?" Aku sengaja menduga Akmal.

"Alahai Along tak tahu ke? Daun bunga raya kalau Along ramas-ramas dalam bekas berisi air dan Along tepek-tepekkan di rambut Along, nanti rambut Along boleh jadi hitam berkilat macam rambut si Syikin yang tinggal di rumah hujung jalan nun. Ini kan petua orang dulu-dulu. Mal ada terbaca petua ni di majalah yang Along beli" Berkobar-kobar Mal menyampaikan hujahnya mengenai kegunaan daun bunga raya.

"Jadi, sekarang ni sebenarnya Mal nak cakap pasal kegunaan daun bunga raya atau pasal cantiknya rambut si Syikin tu? Aku sengaja cuba menyelam gelora hati peria yang sedang membesar ni.

"Iskh… Along ni. Ada ke Mal pula yang di kenennya. Long! Kalau dah macam tu, tak payahlah tanam pokok. Lagi pun Mal tak sanggup nak tengok pokok tu nanti macam hidup tak hidup je. Takkan Along tak tau yang Along memang tak ada bakat langsung jadi pekebun. Tapi! Along sesuai jadi chef. Mal laparlah Long. Jom kita minum petang. Along pilih, samada nak masakkan Mal cekodok pisang atau belanja Mal makan roti canai di gerai Pak Abu?" Makin lebar senyuman Akmal.

Aku membiarkan saja Akmal bercerita mengenai makanan. Biar dia betul-betul lapar dulu. Lagi pula, aku memang tak bercadang nak masak. Aku ingat nak bawa Akmal pergi makan pizza je sebentar lagi.

Selesai menikmati keenakkan pizza, kami tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya kami pergi menonton wayang gambar larut malam. Ku lihat Akmal begitu ceria sekali. Senyumannya pun dah melebar hingga ke telinga. Lebih-lebih lagi Akmal memang suka menonton cerita aksi seperti itu.

Semasa dalam perjalanan pulang, Akmal asyik bercakap mengenai filem yang baru kami tonton bersama. Aku cuma mampu mendengar. Untuk mengulas lanjut, aku sudah kepenatan dan tidak berdaya. Manakala Akmal masih terus menerus bercerita dan di sulami dengan ketawa-ketawa kecilnya.

"Long, terima kasih kerana bawa Mal keluar hari ni. Mal rasa sungguh seronok sekali malam ni Long. Dah lama juga kita tak menonton wayang. Asyik tengok CD je. Sekali sekala menonton di panggung, rasa thrill"

"Nanti, sekali sekala kita keluar lagi menonton di panggung. Tapi tak boleh sering sangat sebab Mal nak ambil periksa PMR tahun ni. Kalau setakat nak release tension bolehlah. Lagi pula kalau dah kerap sangat ketagih pula nanti sedangkan Mal ada misi penting yang harus Mal laksanakan. Ingat ya Mal… pelajaran tu penting dik. Demi masa depan Mal juga. Along akan berusaha menyediakan segala keperluan Mal dan tugas Mal hanya perlu belajar. Seandainya berlaku sesuatu yang buruk kepada Along, bagaimana Mal nak hidup sekiranya Mal tidak ada pelajaran? Along tidak mahu lihat Mal hidup susah. Along tidak tergamak melihat Mal mencari rezeki dengan tulang empat kerat Mal. Along mahu Mal duduk di kerusi empuk dan hanya perlu memegang pen. Doa Along akan sentiasa mengiringi Mal setiap masa. Andai arwah mak dan arwah ayah masih ada, tentu mereka juga mahukan yang terbaik saja untuk Mal. Percayalah dik. Berjanjilah pada Along yang Mal akan berikan yang terbaik dan akan lakukan cuma yang terbaik saja" Aku yang kepenatan sejak tadi seolah-olah mendapat tenaga baru untuk memotivasikan Akmal malam itu.

"Insyaallah Long. Berkat doa dan kasih sayang Along pada Mal selama ini. Berkat pengorbanan dan segala yang dah Along berikan untuk Mal, Mal berjanji untuk tidak mengecewakan Along. Mal cuma ada Along…. hanya Along…..tanpa Along, tak tahu apa nasib Mal. Terima kasih untuk segala galanya ya Long. I love you Long. I will always love you forever and ever sis" Merah mata Akmal tatkala dia meluahkan isi di hatinya. Suasana di dalam kereta sunyi seketika tanpa kata-kata. Aku dan Akmal melayan perasaan masing-masing sementara menuju jalan pulang.

Setibanya di rumah, aku dan Akmal sudah terlalu letih. Kami tidak menunggu lama untuk masing-masing terlena di dalam dakapan mimpi yang panjang. Malam sudah berarak pulang…. menanti siang datang bertandang.

Hendak gugur, gugurlah nangka
Jangan menimpa si ranting pauh
Hendak tidur, tidurlah mata
Jangan mengenang orang yang jauh

Tamat Bab 2

Wednesday, December 9, 2009

SKSR - Bab 1

Selamat membaca kepada kawan-kawan semua.

Sebenarnya saya sudah menulis berapa bab cerita ini dalam tahun lepas, tetapi oleh kerana ada beberapa masalah yang tidak dapat saya elakkan, saya terpaksa berhenti seketika dari terus menulis. Kini, setelah lebih setahun lamanya saya menggantungkan pena, saya akan kembali lagi dan meneruskan tulisan dan cerita saya. Kepada kawan kawan semua, saya perlukan sokongan dan dorongan agar kali ini saya dapat menyiapkan cerita saya yang telah tertunggak sekian lama ini.

Salam perpaduan kepada semua dan semoga kawan kawan akan terus ceria menikmati kehidupan harian yang memberangsangkan. Jumpa lagi!

Penulis Secangkir Kasih Secubit Rindu.

=====

SECANGKIR KASIH SECUBIT RINDU.

Bab 1

Aku berjalan laju menuju ke kereta. "Argh!… Terlambat lagi aku nampaknya hari ini", gerutu hati kecilku. Tiba-tiba aku terjatuh. "Aduh, sakitnya punggung aku" Aku mendongak ke atas dan sekonyong-konyong ada tangan yang memaut pinggangku dan menarikku berdiri. "Maafkan saya. Tak sengaja. Err! Sakit ke?"

"Kalau dah tertonggeng macam ni takkan tak sakit pula. Awak ni memang suka langgar-langgar orang ke?" Berdas-das kata-kataku meluncur laju macam bertih bertih goreng. "Maaflah ya, saya sebenarnya nak terbuang air tadi…tapi sekarang nampaknya macam tak jadi la pula". Mamat depan aku ni tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang putih dan tersusun bersih.

Aku tak mampu menahan gelak. Terburai aku ketawa terkekeh-kekeh sampai terlupa bahawa aku tak kenal pun mamat ni siapa. "Awak nak terbuang air kecil ke atau nak terbuang air besar?" Aku tak habis lagi nak berseloroh atau mungkin seolah menyindirnya pula. Mamat yang tersengih macam kerang busuk ni pula masih tetap tersengih sambil menyeringai. Ah… tak habis-habis menyeringai dari tadi, malas aku nak layan.

"Errr.. nama saya Ching Hang, tapi nama glamer saya Adam. You can either call me Adam or Ching Hang. Whichever convenience to you my dear princess" Laaa, mamat ni berbangsa cina rupanya. Aku ingatkan dia ni melayu kerana kulitnya yang sawo matang. "Adam, saya Michelle" Terasa tersekat pula di kerongkong ku. "Err, nama sebenar saya Balqis"

"Hi Balqis, please to meet you. Masih sakit ke? Nak saya hantarkan ke klinik? Adam begitu berbahasa. Baru ku perasan betapa manisnya senyuman Adam. "Tak apa lah Encik Adam, saya tak apa-apa. Cuma, pesan saya, lain kali tu berhati-hati sikit. Jangan terlanggar anak dara orang lagi", aku berceramah pula sambil tersenyum sinis dan berlalu menuju ke keretaku yang cuma sepelaung saja jaraknya.

Semasa aku bergerak pergi, ku lihat Adam masih tercegat di situ. "apa lah mamat ni. Tadi sibuk sangat nak buang air. Ni tercegat lak" Apabila keretaku melintasi Adam, sempat aku menjuihkan bibirku padanya. Lalu di balas dengan senyuman yang sungguh meruntun egois kewanitaanku. Aku terpana dek senyumannya yang mampu mencairkan hati semua wanita. "Oh! Adam…"

Ponnn… pon. Ponnnnnnn!!!… "Adik manis! Mau mati kah?" jerkah seorang penunggang motosikal berbangsa India di sebelahku. "Ayoyo, muka banyak cantik, tapi bawa kereta banyak bahaya" Masih tak habis lagi penunggang motosikal tu membebel sambil memandangku.

"Ane, sorry ane! Ane banyak handsome la ini hari" Aku beriya iya cakap sambil menggoyang goyangkan kepala ku. Terasa macam dalam filem Hindustan lah pula. Aku tersenyum sendiri. Rupanya dalam aku mengkhayalkan senyuman Adam, aku hampir terlanggar motor di sebelah kananku. Astagfirullah al azim….

"Mmmm, baru nak balik ke Long? Dah lewat sangat ni. Ingatkan Along dah tak jumpa pintu rumah" Sesedap rasa Akmal, adik kecilku menyindir.

"Ai Mal, baru pukul 10 malam Mal. Bukannya 5 pagi" Aku membidas Akmal sambil menuju ke bilikku. Tokkk… tok… tok…! Akmal lenggang kangkung masuk ke bilik ku. "Long, tolong Mal buat matematik ni Long. Susah la. Dah sejam dah Mal cuba selesaikan tapi tak dapat-dapat juga. Mal dah mengantuk ni, tapi kerja rumah ni cikgu nak esok. Tolong ya Long. Mal sayang Along" Berdecup sebuah kucupan manja singgah ke pipi kananku. Adikku yang seorang ini memang sangat manja. Setelah ibu bapa kami terlibat dalam kemalangan 10 tahun yang lalu, Akmal hanya ada aku. Kini Akmal sudah pun berusia 15 tahun dan aku pula sudah menjangkau 24 tahun. Aku teringat kembali sejarah lama, ketika ibu dan bapa meninggalkan kami dalam kemalangan ngeri itu. Betapa ketika itu Akmal masih terlalu kecil. Akmal baru berusia 5 tahun manakala aku pula 14 tahun. Aku sanggup bekerja sambilan ambil upah menolong jiran berniaga di gerainya demi mendapatkan wang saku dan untuk belanja aku dan adikku ke sekolah dan makan minum kami. Alhamdulillah berkat usaha gigih aku, jugak dengan pertolongan jiran tetangga dan orang kampungku yang sudi menghulurkan bantuan kepada kami, amatlah kami hargai. Tanpa ku sedari, manik manik jernih gugur dari kelopak mataku….

Masih segar di ingatanku betapa Akmal asyik demam kerana merindui ibu bapa kami. Aku amat takut sekiranya Akmal tidak dapat bertahan. Hanya Akmal yang menjadi nadi penguat semangatku. Hanya Akmal yang menjadi penyuntik ketabahanku dan hanya Akmal yang menjadi penyebab aku masih terus berjuang kerana aku ingin memberikan Akmal kebahagiaan dan kasih sayang seorang kakak, kasih sayang seorang ibu dan kasih sayang seorang ayah.

"Apa Along ni….. Mal minta tolong buat matematik je, bukan nak dera Along. Ni belum pun tolong dah menangis pula. Kenapa ni Along? Along ada masalah ke? Mal ganggu Along ke? Long…. Kalau Along nak nangis pun, lepas tolong Mal buat matematik ni la Long. Boleh ya Long?… Boleh kan? Akmal betul betul membuatkan aku tergelak. Aku mencubit pipi Akmal dan kemudian kami berdua berdedai ketawa bersama.

"Maaflah dik, Along tersentimental pula" Ok, kita cuba selesaikan matematik ni sekarang. Selagi tak siap, jangan tidur tau! Kalau tak nanti Along potong duit saku Mal" Giliran aku pula menyakat Akmal.

Mula-mula Akmal tersengguk-sengguk, tetapi lama kelamaan terus terlena. Akhirnya aku juga yang terkial-kial menyiapkan kerja sekolah Akmal sedangkan dia dah lena di buai mimpi indah agaknya.

Tamat Bab 1